Hendaklah kamu memakai wangi-wangian ISTIGHFAR supaya bau-bauan DOSA tidak membuka keaiban kamu....

السلام عليكم ورحمة الله

السلام عليكم ورحمة الله

Sunday, 17 April 2011

Kesenian sains dalam minyak wangi






Oleh AZIDA ISHAK

Minyak wangi adalah sebuah aksesori menarik dan sangat digemari oleh semua orang baik kaum lelaki mahupun kaum wanita.

Kebiasaannya, kita semua hanya menganggap sebatian minyak wangi sebagai suatu semburan yang dipakai pada tubuh kerana aromanya yang menarik dan juga bagi mengelak bau tubuh badan yang kurang menyenangkan.

Namun tidak semua orang tahu apakah bahan dan intipati yang terkandung di dalam minyak wangi itu sendiri.

Perkataan minyak wangi atau perfume (dalam bahasa inggeris) berasal dari ungkapan Latin iaitu peri membawa maksud merebak dan fume pula bermaksud asap.

Daripada kajian dan catatan sejarah terdahulu telah pun ada menunjukkan bahawa manusia purba menggunakan pelbagai jenis haruman semerbak hasil daripada pembakaran bahan-bahan seperti resin, getah dan kulit kayu.

Semuanya dikenali sebagai incense dan seringkali dimanfaatkan dalam upacara ritual khusus yang terbentuk keagamaan.

Masyarakat kuno ini juga percaya bahawa pemberian wangian untuk dewa-dewi yang dipuja akan menjadikan nasib mereka lebih baik.

Sejarah juga telah membuktikan penggunaan minyak wangi melalui penemuan dalam makam batu Firaun Mesir beribu-ribu tahun dahulu.

Proses pengawetan mumia yang dilakukan khas untuk golongan raja-raja, bangsawan dan orang kaya menggunakan bahan wangian seperti getah damar (bahan sari yang terbentuk secara semula jadi akibat daripada tindak balas pokok untuk melindungi bahagian yang cedera selepas diserang penyakit).

Selain itu ia juga melibatkan rempah, kayu dan resin, yang kemudiannyadicampur dengan minyak dan air untuk disapu sebagai balm pada tubuh jenazah sebelum dimakamkan.

Dunia Islam di zaman para khalifah juga telah memajukan teknologi dalam industri pembuatan minyak wangi sehingga ia berkembang menjadi sangat pesat.

Ramai para cendekiawan meyakini bahawa industri ini bermula melalui seorang ahli kimia yang sangat mahsyur iaitu Jabir Ibnu Hayyan (721-815M) yang digelar sebagai Bapa Kimia Moden.

Jabir Ibnu Hayyan telah membuat penemuan mengenai teknik penghasilan minyak wangi iaitu melalui kaedah penyulingan, pengewapan dan penyaringan.

Ketiga-tiga teknik ini didapati mampu mendapatkan aroma minyak wangi daripada minyak pati tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan.

Seorang lagi tokoh Islam yang terkenal iaitu Al-Kindi juga telah menulis sebuah kitab (805-873M) bertajuk Kimiya' al-Itr yang telah mengembangkan teknik dan kaedah Jabir Ibnu Rayyan secara lebih terperinci.

Al-Kindi juga banyak menulis mengenai berjenis-jenis bahan dan campuran sebatian untuk penghasilan minyak wangi.

Intipati Minyak Wangi

Bahan asas yang digunakan dalam sebatian minyak wangi adalah seperti berikut:

Air + alkohol (pelarut) + minyak pati (yang mengandungi sebatian aromatik).

Alkohol yang dicampur di dalam proses membuat minyak wangi pula diproses dari penyulingan petroleum dan sememangnya sangat berguna sebagai bahan pelarut.

Contoh alkohol yang digunakan adalah seperti etanol yang dibuat daripada buah-buahan dan metanol yang dibuat daripada bahan kayu.

Sifat kimia alkohol itu sendiri mendatangkan banyak manfaat kerana ia mudah meruap, tidak meninggalkan kesan jika disembur pada baju, berkebolehan mengikat aroma wangi dan boleh menyimpan ekstrak bauan untuk menjadikannya tahan dengan lebih lama.

Minyak pati pula merupakan sejenis minyak yang senang meruap kerana kandungan aromatiknya yang tinggi. Ia boleh didapati secara teknik penyulingan seperti berikut:

Bahan mentah, proses pemilihan dan pembersihan, proses pengisaran, proses penyulingan, wap beraroma disejukkan melalui kondenser pengumpulan bahan ekstrak, proses pengasingan minyak dan air, penulenan penganalisaan kualiti minyak pati, perolehan minyak pati tulen.

Penemuan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Dekan Pusat Pengajian Siswazah UKM, Prfesor Datuk Laily Din telah mentgenal pasti daun kesum yang ditanam di tanah air kita mempunyai potensi besar untuk dijadikan minyak pati.

Selain daun kesum, pihaknya juga telah membuat penyelidikan terhadap satu spesis cendawan Lichens untuk dijadikan minyak wangi. Selain dari UKM, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) turut mendapati bahan-bahan seperti herba nilam, selasih, serai, tea-tree, kayu manis dan limau purut sesuai dijadikan tanaman minyak pati secara komersial.

Minyak pati yang sangat popular dalam dunia ketika ini ialah minyak mawar yang mengandungi bahan geraniol beraroma wangi.

Teknik penyulingan minyak mawar dikatakan berasal dari Persia dan kini antara 70 dan 80 peratus minyak ini boleh diperolehi di pusat penyulingan mawar di Bulgaria dan selebihnya di negara lain.

Negara Jerman menghasilkan minyak mawar damaskus Rosa damascene sementara di Perancis menggunakan mawar bernama Rosa centifolia.

Setiap minyak wangi mempunyai keharmonian baunya sendiri.

Seni pembuatan minyak wangi boleh diumpamakan seperti teknik seorang komposer menggubah lagu atau menciptakan sebuah melodi. Ini adalah kerana teknik pencampuran beberapa jenis wangian ke dalam suatu larutan adalah merujuk kepada kategori wangian itu sendiri.

Terdapat 3 kategori wangian iaitu nada atas (top notes), nada tengah (middle notes) dan nada dasar (base notes).

1) Nada tas - biasanya berasal dari sari buah-buahan atau tumbuh-tumbuhan seperti lemon, anggur, pic dan nanas. Ia dapat dihidu dengan pantas disebabkan kemeruapan molekulnya yang kecil dan sangat cepat (co-efficient 1-14). Dalam seni pembuatan minyak wangi, pemilihan wangian dari kategori nada atas adalah penting sekali kerana ia bakal memberi gambaran awal pengguna terhadap minyak wangi itu sendiri.

2) Nada tengah - biasanya berasal dari sari bunga-bungaan yang wangi seperti mawar, freesia, gardenia, violet, ros cina (yang mengandungi trimethoxybenzene untuk memberikan ketenangan), teratai timur (atau ohga-lotus, sejenis bunga paling tua di dunia) dan melati.

Merupakan wangian yang akan timbul setelah wangian nada dasar meruap, biasanya antara dua minit sehingga berjam-jam selepas pemakaian minyak wangi.

3) Nada dasar - biasanya berasal daripada zat yang dikeluarkan oleh haiwan seperti kasturi dan ambergis (dari paus), mempunyai bentuk molekul yang lebih besar, berat, sangat lambat meruap dan biasanya dapat dihidu hanya selepas 30 minit pemakaian oleh pengguna.

estidotmy

No comments:

Post a Comment